BUSANA TRADISIONAL ORANG JOHOR

Busana tradisional orang Johor memiliki daya tarik yang khas dan memikat

BUSANA TRADISIONAL ORANG JOHOR

Busana tradisional orang Johor memiliki daya tarik yang khas dan memikat

Busana tradisional orang Johor memiliki daya tarik yang khas dan memikat. Didominasi oleh warna-warna cerah dan motif yang indah, busana ini mencerminkan keanggunan dan keindahan budaya Johor. Bentuk pakaian tradisional bagi pria biasanya adalah baju Melayu yang elegan dengan kain sarung, sedangkan bagi wanita, kebaya merupakan pilihan yang menawan dengan padanan kain sarung atau kain songket yang bernilai seni tinggi. Kombinasi detail yang rumit dan aksen perak atau emas pada hiasan menambahkan pesona tersendiri pada busana ini. Setiap busana tradisional Johor mengandung nilai-nilai budaya dan tradisi yang tetap dijaga dengan bangga hingga saat ini

Photo Credit: Bulan Bintang

Baju Melayu Telok Belanga menjadi pakaian tradisi lelaki dari Johor sejak dahulu lagi. Pakaian ini mula diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar, ketika baginda bersemayam di Telok Belanga, Singapura. Pada masa pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, Menteri Besar Johor ketika itu, Dato’ Jaafar bin Haji Muhammad telah mencadangkan mengubah sedikit bentuk asalnya dengan memendekkan labuh baju hingga ke paras punggung dan dipasang kocek tiga. Pesak dan kekek pula masih dikekalkan. Leher baju Melayu Telok Belanga dikemaskan dengan jahitan tulang belut atau dijahit dengan mesin jahit sahaja dan dipasangkan dengan butang sebutir.

Sehingga ke hari ini, potongan ini masih sama di mana baju  dan seluar lazimnya, dipakai sedondon dari fabrik berwarna tanpa corak. Namun begitu keistimewaannya ialah, apabila  adanya kerabat di-raja Johor yang memakai baju Melayu Telok Belanga ini tidak sedondon, iaitu baju berwarna yang dipadankan dengan seluar hitam dan ‘kain sampin berdagang luar’.

Pakaian ini dilengkapkan lagi dengan kain samping songket atau kain tenun corak jalur berdiri, melintang atau tapak catur. Kain samping dipakai berdagang adalah lazim bagi orang kebanyakkan. Baju Melayu Telok Belanga dipadankan dengan songkok sebagai pakaian untuk menutup kepala.

Baju Melayu Telok Belanga juga menjadi pakaian untuk menari zapin dan lain-lain tarian hingga ke hari ini.

Photo Credit: Bulan Bintang

Selain dari Baju Melayu Telok Belanga, Baju Melayu Cekak Musang juga dipakai di negeri Johor. Baju dan seluar lazimnya dibuat dari fabrik berwarna tanpa corak atau tidak bertekstur. Ada juga yang dibuat dari fabrik berjalur atau lain-lain corak. Baju Melayu Cekak Musang mempunyai potongan yang sama dengan Baju Melayu Telok Belanga. Hanya di bahagian leher dipasang kolar tinggi dan berbelah di dada serta dipasangkan dengan 5 butir butang , 2 butir di kolar dan 3 lagi di bahagian belah dadanya.

Baju Melayu Cekak Musang dipadankan dengan kain samping songket atau kain tenun corak bunga bertabur atau tapak catur dan dipakai dengan cara ikatan sampin berdagang luar.

Songkok atau tengkolok dipakai bagi kelengkapan menutup kepala.

Photo Credit: Pementaan Budaya

Pakaian yang menyerupai potongan kot berkolar tinggi, lengan panjang dan labuhnya hingga ke paras punggung serta dipasang dengan satu atau tiga kocek. Pakaian berbelah hadapan ini dipasang dengan butang penuh di bahagian hadapan dan juga butang hiasan sebanyak tiga atau empat butir di hujung lengan baju.

Digayakan dengan sut potongan blazer dilengkapi dengan kemeja putih yang dipakai di dalam. Kot ini pernah dipadankan dengan seluar pantaloon yang lazimnya berwarna hitam atau warna gelap. Keunikan pakaian kehormatan barat ini ialah apabila ianya masih mengekalkan kain sampin dan songkok sebagai kelengkapan pakaian serta memakai kasut kulit hitam bertali. Kain sampin yang dipakai ialah kain sarung corak Muar atau kain songket dan kini boleh dipadankan dengan seluar slack.

Pakaian ini biasanya dipakai suatu ketika dahulu oleh orang Melayu yang berkhidmat dengan kerajaan Inggeris sebelum Malaysia merdeka dan pemakaiannya diteruskan sebagai fesyen yang mempunyai gabungan elemen busana dari barat.

Photo Credit: corasell

Baju Kurung Cekak Musang sama potongannya dengan Baju Kurung Telok Belanga. Hanya pada bahagian lehernya ditambah kolar tegak dua jari dan belahan di dada dengan dilapik sedikit tebal untuk memasang butang sebanyak tujuh atau lima butir. Baju ini dahulunya dipakai oleh kerabat diraja dan orang bangsawan, maka itu ianya dibuat dari fabrik mahal seperti broket dan baldu.

Terdapat juga baju kurung cekak musang yang dipanggil leher sejari kerana kolarnya lebih kecil dan dipasang hanya lima butir butang.

Photo Credit: courasell

Baju Kurung Telok Belanga adalah pakaian tradisi wanita Johor yang masih dipakai sehingga ke hari ini. Potongan baju mengandungi badan, lengan, pesak dan kekek adalah longgar dan selesa dipakai serta dikemaskan dengan sebutir butang di leher. Baju ini juga dilengkapi dengan kocek di bawah dada kiri dan ada juga kocek yang dipasang di sisi bahagian dalam baju.

Baju dan kain lazimnya dipakai sedondon atau bajunya dari fabrik kosong dan dipadankan dengan kain songket atau kain batik. Baju ini dipadankan dengan kain sarung ikatan ombak mengalun. Pada masa dahulu sehelai kain sarung lagi dipakai sebagai kain kelubung dan kerabat diraja Johor menghiasi bahu dengan selendang mantul dari sulaman corak kelingkan.

Photo Credit: noidax

Baju kurung moden dan kebaya moden juga menjadi pakaian yang digemari di negeri Johor. Baju potongan moden ini direka dengan berbagai jenis potongan tetapi masih mengekalkan nilai-nilai tradisi dan cara pemakaiannya iaitu dengan kain dan baju yang masih labuh.

Tetapi potongan baju-baju ini dibuat sedikit singkat, potongan lebih ketat, mengikut bentuk badan dan dihiasi dengan berbagai hiasan seperti renda dan aksesori batu-batu permata.

Potongan kain juga lebih sempit dikenali sebagai potongan a-line, kembang payung dan sebagainya.

Fabrik yang digunakan juga mengikut fabrik jenis yang terkini, yang terdapat di gedung-gedung tekstil. Potongan pakaian seperti ini mula dipakai dalam tahun 1950-an dan 60-an

  • Posted In:

Our Awesome partners

Initiative By ITEA Technology
Programme By Iskandar Regional Development Authority (IRDA)
Supported By Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB)
Strategic Platform